[VIDEO] Polis kesan individu masuk secara haram melalui BSI

Tangkap layar video tular memaparkan beberapa individu memasuki negara ini secara haram menerusi kawasan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar.
Tangkap layar video tular memaparkan beberapa individu memasuki negara ini secara haram menerusi kawasan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Polis sedang mengesan beberapa individu terlibat dalam sebuah video tular yang memaparkan kejadian masuk secara haram ke negara ini menerusi kawasan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Ketua Polis Daerah Johor Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, seorang anggota polis di BSI telah membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.12 pagi pada Jumaat.

"Anggota polis terbabit menerima maklumat dari pusat kawalan BSI berhubung kejadian beberapa individu masuk ke negara ini secara haram melalui kawasan larangan berhampiran BSI.

"Hasil siasatan polis melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian terbabit berlaku pada Khamis lebih kurang jam 5.40 petang dan suspek terlibat terdiri daripada lima lelaki dan tiga perempuan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Raub berkata, suspek yang terlibat dalam kes tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut, boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-116086119," katanya.

Jelasnya, polis telah mengambil tindakan awal dengan mendirikan kanopi dan menempatkan anggota 24 jam di kawasan tersebut selain memasang kawad berduri di tepi pagar tebing Selat Tebrau.

Artikel Berkaitan:

Kawad duri dipasang di tepi pagar tebing Selat Tebrau bagi mengelakkan pencerobohan secara haram ke negara ini.
Kawad duri dipasang di tepi pagar tebing Selat Tebrau bagi mengelakkan pencerobohan secara haram ke negara ini.

Video tular itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memaklumkan pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang tidak berkesudahan.

"Saya berharap pihak KDN akan lebih serius menangani isu yang memberi kesan kepada imej negara dan negeri ini," katanya menerusi muat naik di akaun Facebook rasminya pada Jumaat.