[VIDEO] LRT sesak: Lewat ke tempat kerja

Orang ramai perlu beratur di laluan yang ditetapkan sebelum dibenarkan naik ke platform LRT. (Gambar kecil dari kiri: Nadia, Aina Nabilah, Halyza, Derrick Chan)
Orang ramai perlu beratur di laluan yang ditetapkan sebelum dibenarkan naik ke platform LRT. (Gambar kecil dari kiri: Nadia, Aina Nabilah, Halyza, Derrick Chan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesesakan luar biasa di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) mengakibatkan orang ramai sampai lewat ke tempat kerja walaupun sudah keluar awal dari rumah.

Tinjauan Sinar Harian di Stesen LRT Pasar Seni pada Khamis mendapati stesen yang terletak di ibu kota itu mulai sesak ketika waktu puncak bermula jam 7.45 hingga 9 pagi.

Turut kelihatan lebih ramai petugas dan polis bantuan yang ditempatkan di sini sebagai alternatif untuk mengurangkan kesesakan orang ramai supaya pergerakan mereka lebih terkawal.

Polis bantuan ditempatkan di Stesen LRT untuk mengawal pergerakan orang ramai.
Polis bantuan ditempatkan di Stesen LRT untuk mengawal pergerakan orang ramai.

Seorang pekerja bank yang hanya ingin dikenali sebagai Nadia, 23, memberitahu dia sudah terlepas tiga tren meskipun bertolak awal dari rumah.

Katanya, untuk beratur menuju ke platform LRT sahaja sudah mengambil masa selama 20 minit.

“Nak beratur untuk naik ke platform tersangkut sampai 20 minit, beratur panjang tidak bergerak. Saya dah keluar awal. Biasa nak ke tempat kerja makan masa satu jam sahaja, ini dah masuk satu jam 40 minit.

“Saya juga pernah datang lewat ke tempat kerja disebabkan situasi sesak ini. Hari ini (Khamis) saja saya dah terlepas tiga tren, sudahlah kekerapan (tren) setiap lima minit, lama sungguh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial orang ramai menyuarakan ketidakpuasan hati susulan kesesakan di stesen perkhidmatan pengangkutan awam termasuk LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.

Situasi sama turut dialami Aina Nabilah Husain, 25, yang mengakui dia juga pernah terlewat masuk kerja sebanyak tiga kali baru-baru ini berikutan tren di Stesen Pasar Seni sering penuh dengan penumpang.

Pekerja syarikat agensi pelancongan itu terpaksa keluar rumah 30 minit lebih awal berbanding sebelum ini.

“Kebiasaannya saya keluar rumah sekitar jam 7 pagi, tapi sekarang terpaksa keluar jam 6.30 pagi untuk elak sesak. Kalau lambat, memang akan lewat masuk (kerja). Itu pun, saya terpaksa tunggu untuk naik tren yang kedua atau ketiga,” ujarnya.

Stesen LRT Pasar Seni mulai sesak pada waktu puncak iaitu bermula jam 7.45 hingga 9 pagi.
Stesen LRT Pasar Seni mulai sesak pada waktu puncak iaitu bermula jam 7.45 hingga 9 pagi.

Bagi Halyza Hishamuddin, 49, disebabkan kesesakan melampau yang dipercayai bermula sejak Mei lalu, hampir setiap minggu dia sampai lewat ke tempat kerja.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana majikan memahami situasi luar jangka ini,” kata kerani di syarikat swasta itu.

Sementara itu, tinjauan turut mendapati kekerapan tren yang tidak konsisten juga menjadi faktor orang ramai terpaksa mengambil masa lama untuk menunggu ketibaan seterusnya.

Menurut pekerja swasta, Derrick Chan, 23, kekerapan ketibaan tren agak lambat iaitu antara lima hingga tujuh minit pada waktu puncak.

“Masa tersebut agak lama dan tidak sesuai untuk memenuhi kepadatan orang ramai di sini.

“Mereka perlu naikkan kekerapan tren dengan konsisten dan banyakkan tren empat gerabak terutamanya pada waktu puncak,” jelasnya.