Suspek terlibat 7 kes samun bersenjata parang diberkas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang di dua kedai serbaneka di Jalan Sawi dan Taman Bukit Angkasa di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek berusia 20-an itu ditahan di sebuah apartmen di Pantai Dalam pada hari yang sama.

"Kita turut merampas pakaian dan motosikal yang digunakan oleh suspek. Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan tujuh kes samun di sekitar Daerah Brickfields dan Daerah Petaling Jaya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Amihizam berkata, tangkapan itu susulan kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sawi pada jam 3.08 pagi.

Mangsa yang sedang bekerja sebagai juruwang telah didatangi oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang.

"Suspek telah mengarahkan mangsa menyerahkan sejumlah wang yang diambil dari mesin simpanan wang," katanya.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup mendapati suspek memakai topi keledar warna hitam visor jingga, bersarung tangan dan membawa beg badminton.

"Pada hari yang sama kira-kira jam 3.30 pagi, satu lagi cubaan samun bersenjatakan parang telah berlaku di kedai serbaneka di Taman Bukit Angkasa," katanya.

Beliau berkata, suspek telah mengarahkan mangsa untuk menyerahkan rokok dan wang tunai namun pengadu telah bertindak pantas merampas parang yang dipegang oleh suspek.

"Suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal, terdapat barangan peribadi milik suspek terjatuh di luar premis berkenaan," ujarnya.

Amihizam berkata, suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk proses permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Amihizam berkata, orang awam yang ada maklumat berkaitan kesalahan jenayah, boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.