MRT2 tambah baik sistem pengangkutan awam Selangor

Sze Han (dua dari kiri) melihat peta perjalanan MRT2.
Sze Han (dua dari kiri) melihat peta perjalanan MRT2.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan laluan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) Fasa Satu dari Kampung Batu, Kuala Lumpur hingga kawasan Damansara merupakan satu perkembangan positif untuk menambah baik jaringan pengangkutan awam di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han, berkata, ia selaras dengan matlamat kerajaan Selangor melalui Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di negeri ini daripada 20 peratus kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.

Beliau bersama Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim turut berpeluang mencuba kemudahan MRT2 pada Selasa bersama MRT Corp.

"Dengan kemampuan gerabak kereta api MRT2 membawa sejumlah 1,200 orang dalam satu masa, dan sambungan dengan sistem rel lain, kemudahan ini tentunya akan membawa manfaat kepada 6.57 juta penduduk Selangor.

"Ini terutamanya apabila laluan MRT2 Fasa Dua mula beroperasi pada Januari 2023, yang akan menghubungkan laluan ini ke Cyberjaya dan Wilayah Persekutuan Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Sze Han berharap, kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan penambahan bilangan bas serta laluan bas khususnya di kawasan penduduk padat di Selangor.

Ujarnya, perkara tersebut dapat menjayakan pemerkasaan 'first and last mile connectivity' di seluruh Lembah Klang yang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi.

"Bagi menyokong usaha pemerkasaan 'first and last mile connectivity', kerajaan Selangor memperkenalkan Perkhidmatan Percuma Bas Smart Selangor sejak tahun 2015 dengan anggaran RM40 juta setahun disediakan untuk tujuan ini.

"Ia dapat meningkatkan minat rakyat Selangor untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Kerajaan Selangor sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi berkaitan bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Selangor," katanya.