Tukar tanaman bakau kepada jagung bijian

Malaysia ketika ini mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS). - Foto 123rf
Malaysia ketika ini mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS). - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini digunakan bagi tanaman tembakau untuk digunakan semula bagi tanaman jagung bijian.

Nafas dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, mereka bersedia membantu kerajaan dalam merealisasikan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import jagung bijian yang merupakan antara bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan.

Menurutnya, ia sekali gus dapat memastikan harga ayam di pasaran kekal relatif dan stabil.

“Kami juga menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran ayam dengan pengeluaran 144 juta ekor setahun.

“Nafas komited untuk terlibat dalam rantaian industri ternakan ayam selaras dengan saranan kerajaan yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” katanya.

Dalam kenyataan sama, katanya, penglibatan pertubuhan itu dalam rantaian nilai industri ayam dilihat akan dilaksanakan melalui pemerkasaan rangkaian Pertubuhan Peladang bermula dengan Nafas di peringkat induk.

“Seterusnya diikuti struktur pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) tiga peringkat terdiri daripada 14 PPN di peringkat negeri, 279 PPK di peringkat kawasan dan hampir satu juta ahli peladang di seluruh negara.

"Usaha ini dalam masa yang sama dilihat dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat sekali gus meningkatkan hasil pendapatan bagi penduduk setempat," katanya.

Tambahnya, Malaysia ketika ini mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

"Krisis bekalan dan kenaikan harga ayam sering berlaku di negara ini sehingga pelbagai pihak mendesak agar kerajaan segera menanganinya kerana ia membabitkan isu sekuriti makanan.

"Nafas yakin menerusi rangkaian Pertubuhan Peladang dan sokongan pelbagai pihak yang berkepentingan, usaha kami bagi merealisasikan projek tanaman jagung bijian bagi makanan ternakan dapat dilaksanakan.

"Usaha berskala besar ini diyakini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian yang sangat tinggi bagi kegunaan penghasilan makanan ternakan dan seterusnya dapat menstabilkan harga pasaran ayam," ujarnya.