Isu perkhidmatan penerbangan, KPDNHEP minta hubungi terus Mavcom

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna yang berdepan dengan isu berkaitan dengan perkhidmatan mana-mana syarikat penerbangan diminta supaya berhubung terus dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ini kerana sebarang pertikaian berhubung isu tersebut bukan lagi di bawah bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna yang dikendalikan kementeriannya.

Penjelasan dibuat susulan KPDNHEP masih lagi menerima pelbagai aduan mengenai perkhidmatan pengangkutan udara daripada pengguna antaranya berkenaan harga, perkhidmatan, pertukaran jadual dan pembatalan penerbangan.

“Kementerian ingin memaklumkan kepada semua pengguna perkhidmatan pengangkutan udara bahawa mulai 1 Mac 2016, melalui Akta Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2015, Akta A1498, seksyen 99(1)(c) yang telah dipinda.

“Pindaan itu memasukkan seksyen 99(1)(ca) yang memperuntukkan bahawa apa-apa isu pertikaian berkaitan dengan perkhidmatan mana-mana syarikat penerbangan adalah diluar bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna, KPDNHEP dan segala aduan berkenaan dengannya hendaklah dirujuk kepada MAVCOM.

“Walau bagaimanapun, segala aduan yang kementerian terima selama ini telah dimajukan kepada MAVCOM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

KPDNHEP dalam masa sama turut menyeru semua pengguna untuk menyimpan atau merakam semua transaksi bila berhubungan dengan syarikat penerbangan dan membuat aduan terus kepada MAVCOM beserta dengan bahan bukti.

“Aduan boleh dibuat melalui pautan https://flysmart.my/en/make-a-complaint/ atau emel enquiries@flysmart.my jika mereka berhadapan dengan masalah seperti yang dinyatakan di atas,” katanya.