Pendaki Everest perlu bukti sahih: Muqharabbin

Foto: AFP, gambar kecil: Muhamad Muqharabbin
Foto: AFP, gambar kecil: Muhamad Muqharabbin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-Mana pendaki yang mendakwa berjaya menawan Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia, perlu menunjukkan bukti sahih seperti gambar atau video sebelum boleh menggelarkan diri mereka sebagai pendaki Everest.

Penjelajah Grand Slam pertama negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, bukti itu juga perlu disahkan oleh sherpa yang menemani serta pegawai Kementerian Pelancongan Nepal selain sijil yang diterima daripada kementerian berkenaan.

Beliau berkata, di Malaysia, terdapat lebih 20 pendaki yang berjaya menjejakkan kaki ke Everest sejak tahun 1997 hingga kini.

"Namun terdapat pertikaian terhadap beberapa pendaki yang menggelarkan diri mereka pendaki Everest sedangkan mereka hanya ke Kem Induk Everest bahkan ada juga yang mengaku sudah mendaki melebihi dua kali tetapi tiada bukti bergambar atau video,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharrabin berkata, pendakian Everest bukan mudah dan menelan belanja hampir RM160,000 hingga RM200,000 selain RM80,000 hingga RM150,000 untuk latihan kerana melibatkan pengalaman mendaki gunung bersalji lain sebagai persediaan fizikal dan mental.

"Jangan malu mengaku kegagalan daripada menipu semua orang terutama rakyat Malaysia demi mendapatkan penghormatan yang tidak bermaruah,” katanya.

Beliau pernah menamatkan siri pendakian ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia antara 2010 hingga 2014 serta berski 'last degree' di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017 hingga 2018. - Bernama