ADUN PH, Muda sokong Johor kaji semula cuti hujung minggu

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Johor menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu.

ADUN Perling, Liew Chin Tong berkata, penetapan cuti hujung minggu kepada hari Sabtu dan Ahad diharap dapat menyelaraskan perbezaan cuti antara kakitangan sektor awam dan swasta yang mempunyai waktu terhad untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau berkata, sokongan dwipartisan itu diharap dapat membantu kerajaan negeri mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih baik khususnya bagi menarik pelaburan sekali gus memberi kesan positif dalam usaha memulihkan ekonomi Bangsa Johor dalam fasa peralihan ke endemik.

"Ini akan memberi nilai tambah kepada kehidupan warga Johor yang seimbang dan lebih baik serta dapat memberi impak positif kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti pekerja," katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada hari Jumaat dan Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan setelah pihaknya mendapat kaedah yang tuntas.

Cuti minggu negeri Johor berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 susulan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan pertukaran cuti itu kepada Jumaat dan Sabtu.- Bernama