Lelaki dikesan bantu siasatan kes samun

Lakaran fotofit diedar untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan kes samun. Foto: Facebook Polis Daerah Hilir Perak
Lakaran fotofit diedar untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan kes samun. Foto: Facebook Polis Daerah Hilir Perak
A
A
A

BAGAN DATUK - Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian samun di Jalan Pasar di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa merupakan seorang suri rumah berusia 54 tahun mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM800 selepas beg miliknya dilarikan suspek.

Menurutnya, suspek yang menunggang motosikal berpura-pura bertanyakan rumah inap desa untuk disewa di kawasan berhampiran.

"Dalam kejadian sekitar jam 10.15 malam itu, mangsa berada atas motosikal sedang berhenti depan rumahnya selepas pulang dari kedai.

"Suspek mendekati mangsa dan berpura-pura bertanya mengenai inap desa yang ada di kawasan rumah mangsa. Tiba-tiba suspek terus merampas beg hitam mangsa yang ada dalam raga motosikalnya," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Ahmad Adnan berkata, suspek dikehendaki polis dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Raden Mohd Azlan Raden Perhan di talian 0138454541 untuk bantu siasatan.