Dua wartawan Sinar Harian menang Anugerah Juri SPRM

Barisan pemenang Anugerah Media SPRM 2021 bergambar kenangan bersama Azam.
Barisan pemenang Anugerah Media SPRM 2021 bergambar kenangan bersama Azam.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Dua wartawan Sinar Harian muncul pemenang Anugerah Juri bagi kategori media cetak sempena Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 yang bertujuan menghargai peranan pihak media di negara ini.

Sinar Harian menerusi laporan pembongkaran wartawan Muhammad Afham Ramli dan Mohamad Hisyamuddin Ayub daripada Unit Rasuah Busters dipilih sebagai pemenang Anugerah Juri menerusi artikel 'Jual Vaksin Sampai RM800 Satu Dos'.

Hadiah utama bagi kategori media cetak dimenangi oleh wartawan Berita Harian, Suzalina Mohamad Halid menerusi artikel 'Pendedahan Kartel Daging 2.0'.

Anugerah Juri kedua diberikan kepada wartawan Berita Harian, Mohd Abdul Illah Hafiz Abdul Aziz menerusi laporan 'Gaya Hidup Mewah Punca Rasuah'.

Sebanyak 24 penyertaan diterima SPRM pada tahun ini melibatkan media cetak dan elektronik.

Jumlah tersebut melibatkan 14 penyertaan untuk kategori media elektronik dan 10 penyertaan bagi kategori media cetak.

Bagi kategori media elektronik, wartawan Astro Awani, Izwar Muzzani Abdul Wahid dipilih sebagai pemenang utama dengan laporan 'Rasuah Terapung Di Tengah Laut'.

Dua pemenang Anugerah Juri bagi kategori media elektronik dimenangi oleh wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Grace Aisyah Humairah Kedayan menerusi laporan 'Datuk Antara Ditahan Godam Data Imigresen dan Cetak PLKS Palsu', serta wartawan Astro Awani, Marlinawatie Che Abd Manaf dengan laporan 'Perkasa Institusi Polis, Kehakiman, SPRM'.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah penyertaan pada tahun ini meningkat sedikit berbanding tahun 2020 yang mana sebanyak 20 penyertaan diterima daripada pelbagai agensi media di negara ini.

Beliau berkata, SPRM memahami kekangan pengamal media yang perlu keluar mencari berita, pada masa yang sama berdepan dengan penularan wabak Covid-19 melanda seluruh negara dan dunia selama dua tahun.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting ialah topik dirangkumi media menarik dan memberangsangkan.

"Pelaporan berita anda (media) berjaya membuka mata rakyat tentang wujudnya rasuah di tempat dan keadaan yang sangat tidak dijangka.

"Bahkan pendedahan oleh para wartawan yang berdasarkan fakta dan bukti, mampu mencetuskan siasatan oleh pihak berkuasa," katanya ketika berucap pada Selasa.

Hadir sama pada majlis Anugerah Media SPRM itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Turut hadir panel juri anugerah iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya serta Penasihat Editorial Bebasnews.my, Datuk Mohd Zaini Hassan.

Sementara itu, pemenang Anugerah Juri daripada Sinar Harian, Muhammad Afham berkata, penganjuran majlis seumpama itu merupakan satu penghormatan kepada pihak media yang berusaha membantu suruhanjaya tersebut membanteras perbuatan rasuah di negara ini.

Afham yang juga ketua Meja Jenayah berkata, biarpun sumbangan daripada pihak media adalah kecil, namun ia sedikit sebanyak mampu membantu SPRM dalam mendidik masyarakat berkenaan jenayah rasuah. "Terima kasih kepada SPRM kerana sudi menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak media bagi memerangi amalan rasuah di negara ini," katanya.