Azam sangkal kes Mara Corp digugurkan

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyangkal dakwaan portal bahawa kes salah guna kuasa membabitkan tiga pegawai Mara Corp akan digugurkan.

Tegasnya, tiada sebarang makluman daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara tersebut.

"Sebagai badan penyiasat, kami telah menghantar fail ke AGC dan seperti mana saya cakap sebelum ini terdapat beberapa pihak untuk dituduh dalam kes ini," katanya.

Menurutnya, terdapat keterangan dan bukti kukuh untuk mencadangkan pertuduhan ke atas pihak terbabit.

"Saya tiada komen kes ini tidak dituduh namun demikian kami telah menyiasat dan ada keterangan atau bukti mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan ke atas pihak tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Media SPRM, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan portal berita yang melaporkan kes tiga pegawai Mara Corp sepatutnya dituduh, akan digugurkan.

Pada 31 Mac lalu, Azam berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan yakin ketiga-tiga suspek akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Dalam laporan sebelum ini juga, Azam berkata hanya lima pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu dipanggil untuk dirakam keterangan.

Isu itu terbongkar apabila tular di Twitter enam halaman surat permohonan untuk SPRM melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara.