'Bella berdiri dekat peti sejuk, bukan hantu' - Saksi

Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri sambung bicara pertuduhan yang dihadapinya melibatkan pengabaian seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun. - Foto Bernama
Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri sambung bicara pertuduhan yang dihadapinya melibatkan pengabaian seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakan Pengasas Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, susuk tubuh yang berdiri berdekatan peti sejuk di sebuah kondominium di Wangsa Maju, ialah remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella, bukannya hantu.

Saksi kelapan pendakwaan yang juga Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam berkata demikian ketika prosiding kes menganiaya Bella membabitkan Siti Bainun Ahd Razali, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, saksi berusia 40 tahun itu berkata, dia sedar Bella berdiri di tempat itu semasa membuat kerja hingga jam 3 pagi.

Suhana: Tahun lalu, saya bermalam di rumah Siti Bainun, lepas makan dan berbual, saya siapkan kerja-kerja pejabat hingga lewat tengah malam.

Mohammad Farhan: Tidak takut lihat tubuh yang berdiri di depan peti sejuk, tidak bergerak pada waktu tengah malam?

Suhana: Tidak.

Mohammad Farhan: Kalau tak rasa macam itu, memang dalam pengetahuan puan, itu ialah Bella, bukan hantu, setuju?

Suhana: Setuju.

Mohammad Farhan: Setuju atau tidak, penghuni di rumah Siti Bainun suka main sembunyi-sembunyi.

Suhana: Tidak pasti.

Dalam pada itu, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, saksi itu berkata, Siti Bainun pernah menjerit hanya kerana Bella diberi minuman.

Menurutnya, jeritan Siti Bainun mengejutkan semua tetamu yang hadir ketika makan malam di kondominium berkenaan pada Jun 2021.

Ketika kejadian beliau berkata, penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, (saksi pendakwaan kelima) mengadu kepada Siti Bainun bahawa ada orang beri air kepada remaja sindrom Down itu.

"Tiba-tiba Bainun jerit dengan sangat kuat dan bertanya, siapa bagi air kepada Bella, dengan nada marah.

“Hanya selepas rakan kami iaitu Kak Haiza beritahu, dia yang memberi air kepada Bella, barulah Siti Bainun bertenang dan tidak lagi meninggikan suara," katanya.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.

Prosiding bersambung Khamis ini.