Bangladesh tekad malukan Harimau Malaya

Javier Cabrera (kiri) ketika sidang media perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 pada Isnin. - Foto Bernama
Javier Cabrera (kiri) ketika sidang media perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PASUKANBangladesh enggan pulang dengan tangan kosong dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023, apabila menyasarkan untuk menang perlawanan akhir kumpulan E menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Ketua Jurulatihnya, Javier Cabrera berkata, meskipun mengakui bukan satu tugas mudah menentang Malaysia yang merupakan tuan rumah, namun pasukannya akan cuba melakukan yang terbaik pada aksi tersebut.

Jelasnya, perlawanan menentang Malaysia merupakan medan terbaik untuk mereka menampilkan aksi terbaik selepas menampilkan persembahan konsisten dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Sudah tentu kami tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Bagi saya ini adalah peluang terbaik untuk kami membuktikan kemampuan sebenar di hadapan penyokong-penyokong lawan.

“Jadi hari ini (Isnin) kami akan berbincang dengan barisan kejurulatihan berkenaan kekurangan dan apa yang perlu ditambah baik ketika bertemu Malaysia.

“Saya juga berharap mental dan fizikal pemain berada dalam keadaan yang terbaik menjelang perlawanan esok,” katanya ketika sidang media pra perlawanan menentang Malaysia pada Isnin.

Untuk rekod, Bangladesh kini berada di kedudukan tercorot kumpulan E selepas merekodkan dua kekalahan sebelum ini sekaligus menyaksikan peluang Bangladesh untuk layak ke Piala Asia 2023 sudah tertutup.

Dalam pada itu, senada pandangan bersama Cabrera ialah ketua pasukan Bangladesh, Jamal Bhuyan yang turut memberitahu pasukannya ketika ini berada dalam keadaan yang baik menjelang perlawanan esok.

“Esok merupakan perlawanan akhir menentang Malaysia dan kami tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan itu.

“Kami mahu menamatkan kempen kelayakan Piala Asia ini dengan keputusan positif dan semua pemain-pemain ketika ini sangat bermotivasi.

“Kami mahu membawa sesuatu untuk rakyat Bangladesh dan tidak mahu pulang dengan tangan kosong,”katanya.