Polis rampas dadah bernilai RM248,490, tujuh individu ditahan

Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah dalam tiga operasi serbuan dengan anggaran nilai rampasan RM248,490 di sekitar Lembah Klang.
Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah dalam tiga operasi serbuan dengan anggaran nilai rampasan RM248,490 di sekitar Lembah Klang.
A
A
A

SENTUL- Polis menumpaskan sindiket dadah dalam tiga operasi serbuan dengan anggaran nilai rampasan RM248,490 di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Sentul di sebuah kondominium di Manjalara kira-kira jam 4 petang pada Rabu lalu berjaya memberkas seorang suspek berumur 21 tahun disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai satu peket lutsinar yang mengandungi bahan Metamphetamine (13 gram) di dalam poket seluar.

“Suspek kemudian telah membawa pasukan serbuan ke sebuah kondominium dan menjumpai 15 balutan foil warna oren mengandungi ketulan mampat bahan disyaki kanabis seberat 14,980 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Isnin.

Menurutnya, polis turut merampas dua bungkusan kertas berpelekat ‘Happines begin with a wonder cake’ di mana setiap bungkusan mengandungi enam keping biskut, menjadikan jumlah keseluruhan 12 ketul biskut berperisa kanabis dengan berat 230 gram.

“Setiap bungkus berharga RM100 untuk enam keping biskut yang dijual di media sosial dan kawan-kawan.

“Ini termasuk lima peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki Methamphetamine seberat 65 gram. Turut dirampas dua rantai leher warna kekuningan, satu bentuk cincin warna kekuningan dan wang tunai berjumlah RM2,400 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya..

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan baru-baru ini.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi serbuan kedua melibatkan BSJND Sentul dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontijen Selangor berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 25 tahun di kawasan Jalan Lintang Batu Caves pada 9 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan milik suspek menemui 10 balutan foil mengandungi ketulan mampat bahan disyaki kanabis seberat 9,940 gram di tempat duduk bahagian belakang kereta terbabit.

“Turut dirampas satu rantai leher bersama loket warna kekuningan, sepasang subang warna kekuningan dan wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

Selain itu, Eng Lai berkata, empat lelaki tempatan berusia lingkungan 23 hingga 24 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Bandar Menjalara, Kuala Lumpur pada jam 7 petang, 9 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh di alamat tersebut telah menjumpai satu peket plastik berisi bahan disyaki Metamphatamine (5.40 gram), satu plastik berisi pil bercorak bom warna hijau disyaki pil Esctacy (1,500 gram), satu plastik berisi pil bercorak kartun minion warna kuning disyaki pil Esctacy (1,363 gram).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pil Esctacy yang dirampas sebanyak 2,863 gram. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM2,100 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing tiga daripada tujuh suspek yang ditahan positif dadah jenis THC manakala empat suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati,” ujarnya.