Pemimpin utama PH adakan pertemuan dengan PM

Kenyataan media PH pada Isnin
Kenyataan media PH pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri bagi membincang Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan tiga perkara dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang perlu kerajaan laksanakan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama berkata, ia melibatkan penetapan had dua penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri, pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen dan pemindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Dengan meluluskan RUU ini, maka 15 dari 18 Perkara dalam MoU di antara PH dan Kerajaan Persekutuan akan tercapai, bersamaan dengan 83 peratus.

“Majlis Presiden PH rasa kecewa di atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang RUU Anti Lompat Parti seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Walaupun begitu, PH berharap RUU tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu berkata, pihaknya bersetuju untuk meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai ini.

Pada Khamis, Ismail Sabri memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang serta membahaskan RUU berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Sebaliknya, RUU itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.