Sukma: Negeri Sembilan sasar kedudukan 9 terbaik

Mohamad Taufek (duduk) ketika meninjau sekitar aktiviti pada program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan pada Ahad.
Mohamad Taufek (duduk) ketika meninjau sekitar aktiviti pada program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan pada Ahad.
A
A
A
NEGERI Sembilan menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya sembilan terbaik dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 pada September ini.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, Negeri Sembilan pada temasya sebelum ini meraih kedudukan ke-12.

“Kita sebelum ini berada dalam kedudukan ke-12... jadi kita sasar pada kedudukan satu digit maknanya sekurang-kurangnya kedudukan kesembilan.

“Kita mahukan peningkatan cuma kita cakap pun kena melihat kepada keupayaan dan prestasi kita... kalau kita letak nombor satu tetapi tidak mampu dicapai maka kita letak sasaran yang boleh kita capai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Mohamad Taufek berkata, Negeri Sembilan akan menghantar lebih kurang 359 atlet termasuk pegawai dan akan bertanding 28 sukan daripada 31 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya berkenaan.

"Kita sudah menetapkan beberapa kriteria dari segi pemilihan atlet untuk mewakili negeri dan beraksi pada Sukma tahun ini, terutama mereka yang telah memiliki rekod baik dalam acara diceburi.

“Saya difahamkan kita di peringkat akhir hantar senarai nama (atlet) terkini untuk sukan berkenaan...

"Saya jangka Negeri Sembilan akan fokus pada sukan-sukan yang sudah melakukan persiapan rapi," katanya.

Mohamad Taufek berkata, jumlah perbelanjaan kontinjen Sukma negeri kali ini diperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk kegunaan pakaian, elaun atlet dan pelbagai perbelanjaan lain.

Pada edisi Sukma Perak 2018 lepas, Negeri Sembilan meraih tempat ke-12 dengan kutipan 74 pingat keseluruhan dengan 13 emas, 18 perak dan 43 gangsa.