MOT lantik dua anggota baharu Mavcom

Wee Ka Siong - Foto Bernama
Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik Datuk Roger Tan Kor Mee dan Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai dua anggota baharu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkuat kuasa Rabu lepas hingga 7 Jun 2025.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan pada Ahad berkata, Kor Mee yang merupakan peneraju Tetuan Roger Tan and Partners serta ahli Majlis Peguam, tidak asing dalam perkhidmatan awam dengan berkhidmat sebagai perunding luar untuk kerajaan Johor dan kerajaan Persekutuan dalam suatu tempoh yang panjang.

"Wan Kamaruzaman pula pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah beberapa entiti korporat utama di Malaysia, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan kini seorang daripada anggota Panel Pelaburan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Fauziah Yaacob atas sumbangan mereka sepanjang menjadi anggota suruhanjaya sejak 2016,” katanya.

Selain itu, Ka Siong turut memaklumkan Datuk Seri Long See Wool turut dilantik semula menganggotai suruhanjaya itu berkuat kuasa 1 Mac lepas hingga 28 Februari 2025.

Beliau berkata, See Wool yang telah berkhidmat lebih 34 tahun dan pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha MOT mula berkhidmat sebagai anggota suruhanjaya sejak 2016.

Ka Siong turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pengendorsan beliau terhadap anggota suruhanjaya yang baharu dilantik itu.

"Kami mengucapkan tahniah dan mendoakan pelantikan mereka dapat membangunkan industri penerbangan ke tahap lebih tinggi di dalam usaha ke arah pemulihan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim dalam kenyataan berasingan berkata, keputusan pelantikan itu mampu mendorong Mavcom dan industri penerbangan Malaysia bergerak ke hadapan pada tahun akan datang.

“Dengan pelantikan ahli-ahli suruhanjaya ini, Mavcom akan terus memainkan peranan penting kami sebagai pengawal selia ekonomi bebas yang menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial serta responsif kepada keperluan rakyat.

“Mavcom percaya dengan pengetahuan dan pengalaman luas mereka dalam sektor swasta serta awam, pelantikan ahli-ahli baharu suruhanjaya merupakan aset yang besar bagi suruhanjaya dan industri penerbangan,” katanya. - Bernama