Anak pengawal keselamatan terima Anugerah Naib Canselor

Huiey Mei rai hari konvo bersama ibu bapa.
Huiey Mei rai hari konvo bersama ibu bapa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak pengawal keselamatan menerima dua anugerah penting pada Majlis Konvokesyen Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Sentul di sini pada Sabtu.

Graduan Diploma e-Kesetiausahaan, Lee Huiey Mei, 22, berkata, anugerah itu ditujukan khas buat ibu bapanya yang banyak berkorban dan sanggup berhabis duit bagi memastikannya berjaya dalam pelajaran.

Huiey Mei berkata, tidak mudah baginya untuk mendapatkan Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Bestari Fakulti itu, susulan menghadapi pelbagai masalah ketika mengikuti pengajian secara dalam talian sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

"Ketika itu, ibu saya yang tidak bekerja mengeluarkan duit simpanan KWSP untuk membelikan saya laptop bagi mengikuti kelas secara dalam talian.

"Saya juga hadapi masalah migrain teruk hingga terpaksa makan ubat apabila menempuh peperiksaan secara dalam talian dalam tempoh yang lama," katanya selepas selesai Majlis Konvokesyen ke-12 KLMUC pada Sabtu.

Katanya, usaha kerasnya membuahkan hasil dan dia berbangga dapat memberikan kegembiraan buat ibu bapa melalui kejayaan cemerlang dalam pengajian selain berhasrat meneruskan pengajian peringkat ijazah di KLMUC.

Muhammed Rizal ditemani isteri pada hari konvokesyen KLMUC pada Sabtu.
Muhammed Rizal ditemani isteri pada hari konvokesyen KLMUC pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, dia bersyukur apabila berjaya merealisasikan impian menggenggam skrol Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada usia 51 tahun

Katanya, isteri dan anak-anak adalah penyuntik semangat buatnya untuk meneruskan pengajian yang sebelum ini tertangguh disebabkan kesibukan kerja.

"Ketika saya duduk di Kuantan, saya terfikir sudah tiba masa untuk saya sambung belajar bagi membuktikan kepada anak-anak yang saya boleh berjaya walaupun sudah berusia 51 tahun.

"Saya harap kejayaan ini menjadi dorongan buat anak-anak untuk cemerlang dalam pelajaran. Dua anak saya berada universiti dan seorang lagi di MRSM, Insha-ALLAH mereka akan mengikut jejak langkah saya," katanya yang turut menerima Anugerah Naib Canselor - Kepimpinan pada majlis konvokosyen itu.

Beliau berkata, kejayaan tersebut juga adalah hasil bimbingan tenaga pengajar dan pensyarah yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar meskipun dibatasi jarak dan mengikuti kelas secara dalam talian.

"Kalau saya tak faham, saya akan menelefon mereka walaupun sudah tengah malam. Saya perhatikan mereka tidak jemu melayani persoalan saya, jika perlukan penerangan lanjut mereka sanggup datang ke Kuantan.

"Kejayaan ini bukan hanya kejayaan saya seorang tetapi secara berpasukan yang sama-sama membantu hingga tamat pengajian secara separuh masa.

"Selepas ini, saya tak mahu berhenti setakat sarjana sahaja dan berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah pula," katanya.

Muhammad Yusuf Sabqi rai hari kegembiraan bersama ibu bapanya.
Muhammad Yusuf Sabqi rai hari kegembiraan bersama ibu bapanya.

Seorang lagi graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Muhammad Yusuf Sabqi Muhammad Hasib, 27, berkata, dia menunggu dua tahun untuk memakai jubah konvokesyen susulan penangguhan majlis itu susulan pandemik Covid-19.

Katanya, dia setia bersama KLMUC kerana budaya pembelajaran di sini yang selesa dan keakraban hubungan antara pelajar dengan pensyarah yang tidak didapati di pusat pengajian lain.

"Kalau kita betul-betul mahu belajar, pensyarah akan bantu kita sampai habis. Bukan hanya belajar untuk peperiksaan sahaja, malah turut diberikan ilmu dalam perniagaan dan peluang pekerjaan.

"Saya belajar di KLMUC sejak ijazah dan sambung ke peringkat sarjana. Selepas ini saya akan masuk ke industri untuk timba pengalaman kerja namun tidak menolak untuk ke pengajian peringkat lebih tinggi jika ada peluang," katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 11 individu tersenarai menerima Profesor Adjung antaranya Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi World Islamic Economic Forum Foundation, Tan Sri Syed Hamid Albar yang tidak dapat menghadirkan diri pada majlis tersebut.

KLMUC tawar kursus dijamin kerja, tempoh belajar fleksibel

Syed Helmy berucap pada Majlis Konvokesyen Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Sentul di sini pada Sabtu.
Syed Helmy berucap pada Majlis Konvokesyen Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Sentul di sini pada Sabtu.

Naib Canselor KLMUC, Profesor Dr Syed Helmy Syed Abu Bakar memberitahu, seramai 597 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen KLMUC Ke-12 menghimpunkan mereka yang tamat belajar sejak 2019 hingga 2021.

Beliau berkata, KLMUC mendapat tempat dihati pelajar susulan jaminan kerja bagi setiap kursus yang ditawarkan dengan waktu pengajian yang fleksibel mereka yang bekerja turut boleh melanjutkan pengajian.

Jelasnya, KLMUC menawarkan dua fakulti utama iaitu Sekolah Perniagaan Metropolitan Kuala Lumpur (KLMBS) bagi program keusahawanan, sumber manusia, pembinaan bakat yang lebih kepada soft skil, manakala Fakulti Sastera, Sains Sosial dan Teknologi (FAST) menawarkan kursus pelbagai termasuk multimedia dan kulinari.

No Image Caption

Katanya, turut ditawarkan Profil Fakulti atau Exell yang menawarkan Kredensial Mikro, Kursus Profesional, Program Bahasa Inggeris Intensif, Latihan Sesuaikan dan program Dewasa Bekerja," katanya.

Beliau berkata, KLMUC sentiasa menambah baik kerjasama dengan pemain industri dan melalui pemilihan Profesor Adjung membuka peluang buat pelajar lebih berketerampilan dan menembusi pasaran antarabangsa

"Ada antara Profesor Adjung terdiri daripada mereka yang telah mengembangkan perniagaan hingga ke luar negara. Kita mahu pelajar kita bukan hanya lakukan latihan industri di dalam negara tetapi juga hingga ke luar negara.

"Malah, sambutan daripada pelajar antarabangsa juga memberangsangkan. KLMUC pernah menerima pelajar dari 40 negara cuma apabila berlaku pandemik, pengambilan pelajar agak perlahan namun akan dirancakkan semula selepas pandemik," katanya.

Keboleh pasaran graduan KLMUC meningkat 92 peratus

Najmie
Najmie

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cosmopoint Sdn Bhd, Najmie Noordin berkata, keboleh pasaran graduan lepasan KLMUC menunjukkan peningkatan ketara daripada 70 peratus kepada 92 peratus selepas pandemik Covid-19.

"Ia susulan banyak syarikat memerlukan pekerja bagi mula mengembangkan perniagaan mereka yang terjejas ketika pandemik," katanya.

Tambahnya, program latihan industri kepada graduan pada enam semester akhir kepada sangat membantu para graduan mendapat penempatan dalam syarikat sebagai pekerja tetap.

"Ini sebahagian usaha kami atasi pengangguran graduan melalui dengan program gerenti kerja.

"Selain itu, latihan tambahan kepada pelajar dalam kursus menjawab temu duga dan membuat keterangan peribadi (CV) sedikit sebanyak membantu graduan memasuki pasaran kerja," katanya.

Katanya lagi, penganugerahan Profesor Adjung kepada ketua industri yang mula diperkenalkan pada konvo tahun ini juga adalah cara KLMUC meningkatkan kerjasama dengan pemain industri.

"Mereka akan beri saranan program bersesuaian yang boleh ditawarkan dalam KLMUC bagi meningkatkan keboleh pasaran kerja pelajar-pelajar.

"Kami berharap lebih banyak pemain industri sudi bekerjasama dengan KLMUC pada masa akan datang," katanya.