Pacuan empat roda jatuh gaung, dua warga emas maut

Anggota bomba membantu menaikkan mayat mangsa dari bawah gaung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Anggota bomba membantu menaikkan mayat mangsa dari bawah gaung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUANTAN - Dua penumpang pacuan empat roda maut selepas kenderaan itu terbabas ke dalam gaung sedalam tiga meter di Kilometer 192.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat di sini pada petang Sabtu.

Dalam kemalangan yang dilaporkan jam 5.29 petang itu, mangsa yang juga warga emas dikenali sebagai Abd Talib Akob, 73, dan Fauziah Mohd Marzuki, 62, kedua-duanya beralamat dari Taman Muhibbah,Jerantut maut di tempat kejadian

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bimba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pemandu, Muhamad Taufik Abd Talib, 34 dan seorang lagi penumpang, Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32, dilaporkan cedera.

Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dikerah ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan ke kawasan selamat," katanya.

Zulfadli berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak kesihatan untuk dihantar ke hospital untuk rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.