1,028 pusat jagaan tidak berdaftar: Rina

 Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun menyantuni kanak-kanak ketika melawat Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun menyantuni kanak-kanak ketika melawat Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terdapat 1,028 buah pusat jagaan di bawah penyelenggaraan badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian yang didapati tidak berdaftar dan telah diberikan peringatan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata, KPWKM sejak Januari tahun ini telahpun mengarahkan supaya dilakukan pemutihan bagi mendapatkan data jumlah pusat jagaan yang berdaftar dan tidak berdaftar dan pada Februari sehingga 31 Mac mendapati, 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar manakala yang berdaftar sebanyak 1,910.

"(Daripada jumlah 1,028) sebanyak 38 (daripadanya) telah diperakui pendaftaran, 57 berhenti operasi, lapan disita, 35 kompaun dan satu didakwa,” katanya.

Rina pada masa sama menjelaskan, kementeriannya juga bersedia untuk membentangkan cadangan dan gerak kerja kepada Mesyuarat Jemaah Menteri, untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan termasuk pusat jagaan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya, warga emas serta pusat tahfiz, dan beliau mengharapkan agar ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera. - Bernama