Zii Jia akur aura Anthony Ginting di Istora Senayan

Zii Jia - Foto BAM
Zii Jia - Foto BAM
A
A
A

[DIKEMAS KINI] JAGUH perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Kejuaraan Badminton Masters Indonesia selepas dijinakkan pemain utama tuan rumah Anthony Sinisuka Ginting di saingan suku akhir.

Dalam perlawanan suku akhir di Stadium Istora Senayan, Zii Jia yang merupakan pilihan kelima kejuaraan bermula garang apabila mengatasi lawannya berusia 25 tahun dari Jawa Barat yang juga pilihan keempat, 21-18 set pertama.

Namun, Anthony Ginting yang merupakan pemain nombor empat dunia kembali mempamerkan penguasaannya di bumi Jakarta apabila menang set kedua 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan bagi kemenangan 21-15 dalam masa satu jam sembilan minit.

Juara Seluruh England 2021 berusia 24 tahun itu yang hadir ke Jakarta dengan status juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand sebelum ini mara dengan rekod 15 kemenangan selepas menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 21-17, 21-14 dalam masa 37 minit. Zii Jia sebelum ini diletakkan antara pilihan untuk menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu apabila hadir di Jakarta dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang merupakan pilihan kelapan kejuaraan turut ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan berpengalaman tuan rumah, Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo.

Biarpun begitu Sze Fei-Nur Izzuddin yang tampil semangat melawan tinggi berjaya memenangi set pertama 21-10 sebelum jagoan tuan rumah yang merupakan pilihan pertama kejuaraan bangkit dua set berikutnya untuk kemenangan 21-11, 21-18 dalam tempoh 51 minit.