PM bangga Wai Ching kekal status nombor satu dunia

Ismail Sabri merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching.
Ismail Sabri merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching.
A
A
A

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching yang mengesahkan statusnya sebagai nombor satu dunia selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat Sabtu lalu.

Menerusi catatan di Facebook miliknya, Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian Wai Ching dan berharap beliau terus mengekalkan momentum kejayaan.

"Jaguh lari menara negara kebanggaan kita kini mengesahkan statusnya sebagai nombor satu di dunia selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.

"Keluarga Malaysia amat bangga dengan pencapaian Wai Ching dan berharap akan terus mengekalkan momentum kejayaan ini.

"Keluarga Malaysia... jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” menurut perkongsian itu pada Jumaat.

Untuk rekod, atlet berusia 27 tahun itu memenangi acara pendakian 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center dengan catatan 12 minit 46 saat.