Anugerah Pemain Terbaik PFA pengiktirafan terindah

 Mohamed Salah - Foto AFP
Mohamed Salah - Foto AFP
A
A
A

PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah menyifatkan anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) diraihnya sungguh bernilai apabila ia merupakan pengiktirafan oleh para pemain liga tersebut.

"Anugerah ini sangat bagus untuk dimenangi, terutamanya apabila ia diundi oleh para pemain. Ini sekali gus menunjukkan anda telah bekerja sangat keras dan berjaya mendapat apa yang anda usahakan selama ini.

"Saya mempunyai bilik kabinet khas dengan trofi, namun saya pastikan juga mempunyai ruang lain untuk satu lagi. Saya sentiasa menyediakan ruang lain untuk trofi itu akan datang," kata Salah.

Salah sebelum itu dinobatkan Pemain Terbaik PFA buat kali kedua manakala pemain Chelsea, Sam Kerr menerima anugerah wanita.

Salah, yang berkongsi but emas Liga Perdana Inggeris musim ini untuk penjaring terbanyak bersama pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-min, turut memenangi anugerah itu pada musim 2017/18.

Untuk rekod, pemain Mesir berusia 29 tahun itu menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan untuk Liverpool dan membantu The Reds memenangi Piala Liga dan Piala FA.

Sementara itu, Kerr, yang menjaringkan gol terbanyak dalam Liga Super Wanita musim ini, menjadi pemain Australia pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Pemain PFA.

"Ia satu penghormatan besar saya fikir, setiap kali anda diundi oleh rakan sebaya anda. Saya fikir itu penghormatan tertinggi sebagai pemain jadi, ia satu perasaan yang luar biasa," kata Kerr tonggak serangan yang memainkan peranan penting dalam memacu Chelsea memenangi kejuaraan berganda domestik.

Dalam pada itu, Phil Foden dari Manchester City dan Lauren Hemp mengekalkan trofi masing-masing untuk Pemain Muda Terbaik, manakala bekas pengendali England, Roy Hodgson dan pengurus Wanita Brighton & Hove Albion, Hope Powell menerima anugerah merit atas sumbangan masing-masing kepada permainan.

"Saya tidak pernah memenangi sebarang trofi sebagai pemain selama ini, jadi ia bagus untuk diiktiraf oleh rakan profesional. Ia akan menjadi kebanggaan buat saya," kata Hodgson, yang mengumumkan persaraannya bulan lalu selepas lebih 40 tahun dalam bidang pengurusan.