LUAS kesan bau diesel di RMS Seksyen 3 Bangi

Salah seorang petugas LUAS membuat pemeriksaan dan mengesan bau berikutan insiden pencemaran bau seakan diesel sehingga tiga ton yang dikesan di RMS Seksyen 3 Bangi pada Khamis.
Salah seorang petugas LUAS membuat pemeriksaan dan mengesan bau berikutan insiden pencemaran bau seakan diesel sehingga tiga ton yang dikesan di RMS Seksyen 3 Bangi pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat berhubung insiden pencemaran bau seakan diesel sehingga tiga ton yang dikesan di River Monitoring Station (RMS) Seksyen 3 Bangi pada jam 11.30 pagi Khamis.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Her Loy Sian berkata, pemantauan LUAS bersama agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

Menurutnya, LUAS telah mengaktifkan kod kuning berdasarkan manual kecemasan pencemaran sumber air bagi siasatan secara menyeluruh ke kawasan terlibat di hulu muka sauk yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, LRA Bukit Tampoi dan LRA Labohan Dagang.

"Anggaran jarak lokasi pencemaran di tiga muka sauk LRA Semenyih 2 sejauh 6.63 kilometer; LRA Bukit Tampoi, 18 kilometer dan LRA Labohan Dagang kira-kira 31.9 kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Loy Sian berkata, beberapa lokasi berpotensi menjadi punca pencemaran telah disiasat oleh LUAS di Sungai Balak dan pensampelan ujian bau dijalankan mencatatkan bau sehingga dua ton, manakala di Sungai Sekamat dan di kawasan hulu Sungai Langat tiada sebarang penemuan berkaitan pencemaran dikesan serta semakan bau menunjukkan bacaan 0 ton.

Bagaimanapun katanya, sehingga jam 5 petang Khamis tiada lagi kesan bau seakan minyak di sekitar Sungai Balak.

Dalam pada itu, beliau berkata, LUAS telah menjalankan pemantauan statik dan pensampelan di sekitar Jambatan Kampung Teras Jernang dan pensampelan ujian bau dijalankan setiap 30 minit dan bacaan sekitar dua ton.

"Sehingga jam 9 malam ini (Khamis), tiada sebarang pencemaran dikesan di kawasan muka sauk LRA.

"LUAS dan Air Selangor masih lagi menjalankan siasatan terhadap punca pencemaran bau tersebut," katanya.

Loy Sian berkata, kekerapan pensampelan bau LUAS di Sungai Langat telah dipertingkatkan daripada 1 jam kepada 30 minit untuk memantau rapi status semasa air sungai.

Menurutnya, pemantauan statik dan rondaan LUAS di kawasan Sungai Langat dilaksanakan 24 jam untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan sebarang pencemaran dapat dicegah sebaiknya sebelum ia memasuki sistem LRA.

Katanya, LUAS akan mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan operasi LRA dan seterusnya gangguan bekalan air kepada pengguna.

Tegas beliau, kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

"Kerajaan Selangor dan LUAS menggesa kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri," katanya.