'Jangan politik isu Bon Odori demi kepentingan peribadi'

Tangkap layar Facebook Selangor Royal Office.
Tangkap layar Facebook Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak tertentu terutama ahli politik diingatkan tidak menggunakan isu-isu menyentuh sensitiviti agama seperti Bon Odori untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.

Menurut Selangor Royal Office, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa pihak terlibat tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik mendalam.

Justeru kenyataan itu memberitahu, baginda meminta pihak tertentu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat.

"Baginda mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad hadir ke program sambutan Bon Odori pada 16 Julai 2022 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

"Baginda tidak mahu Idris menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu memberitahu, Sultan Sharafuddin berpandangan bahawa Bon Odori diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun lalu adalah hanya satu perayaan kebudayaan.

"Titah baginda, di Malaysia, khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Jelas kenyataan itu, baginda bertitah perayaan itu menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, baginda bertitah, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.

"Titah baginda, sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan.

"Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan itu pada tahun 2016 diiringi oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Bagaimanapun kenyataan itu memaklumkan, Sultan Sharafuddin telah menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.

"Tegas baginda, apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubungkait dengan agama. Namun seiring peredaran zaman, amalan-amalan budaya ini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.

"Baginda berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa ini akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana yang muhibbah dan harmoni," jelas kenyataan itu.