Jadikan kekalahan proses pembelajaran

Bale. - Foto G3.com
Bale. - Foto G3.com
A
A
A

BINTANG Wales, Gareth Bale berharap agar kekalahan 1-2 kepada Belanda pada saingan Kumpulan D, Liga A, Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Cardiff City pada Khamis dapat dijadikan sebagai satu proses pembelajaran.

Menurut Bale, proses pembelajaran itu penting buat skuad The Dragons yang bakal beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar mulai 21 November hingga 18 Disember depan.

“Saya sangat berharap agar kekalahan ini dapat dijadikan sebagai satu proses pembelajaran untuk kita beraksi di Piala Dunia nanti.

“Apa pun, semoga proses pembelajaran yang dilalui ini akan dapat membantu pasukan sebagai persediaan ke Piala Dunia,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Belanda menjaringkan gol menerusi Teun Koopmeiners pada minit ke-50, sebelum Rhys Norrinton-Davies menyamakan kedudukan buat Wales pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, ketika perlawanan seakan berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1, Wout Weghorst menjaringkan gol kedua bagi memastikan kemenangan memihak buat The Oranje.

Mengulas lanjut, Bale berkata, aksi berdepan Belanda itu sememangnya satu perlawanan yang sukar kerana mereka (Wales), tidak dapat menurunkan kesebelasan utama.

Malah katanya, pemain-pemain Wales yang beraksi pada perlawanan itu juga telah memberikan aksi terbaik dalam mengekang asakan lawan.

“Terus terang bagi saya, perlawanan ini merupakan satu perlawanan yang cukup sukar untuk diharungi kerana kami rata-ratanya dibarisi pemain muda.

“Apa pun, kami tetap gembira kerana berpeluang beraksi dengan salah satu pasukan handalan dunia, Belanda bagi saingan Liga A,” katanya.