Harimau Malaya berjaya pamer 'belang' sebenar

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan mereka pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menentang pasukan Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Rabu. - Foto Bernama
Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan mereka pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menentang pasukan Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon nyata gembira dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya selepas mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pasukan Turkmenistan 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan E Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu berkata, pasukan kendaliannya mempamerkan 'belang harimau' yang sebenar pada aksi tersebut selain berjaya mengikut segala taktikal dan arahan yang dirancang sebelum ini.

“Malam ini merupakan salah satu momen terindah buat saya dan barisan kejurulatihan apabila dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah semua pemain serta para penyokong yang hadir ke stadium.

“Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan besar kepada pemain pada perlawanan malam ini, namun mereka memberikan 120 peratus komitmen memberangsangkan atas padang malam tadi. Harimau Malaya mula menunjukkan karakter sebenar.

“Mereka berjaya mengikut perancangan yang ditetapkan sebelum ini dengan tepat dan teratur, sekaligus membolehkan pemain-pemain dapat mendominasi permainan dengan bertenaga selain mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang 90 minit di atas padang tadi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Turkmenistan.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia tidak mengambil masa yang lama apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Safawi Rasid disusuli Faisal Halim selang lima minit kemudian.

Gol tunggal Turkmenistan hadir menerusi Altymyrat Annadurdyyev pada minit ke-38 hasil kesilapan di bek pertahanan skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Bagaimanapun jaringan pemain pertahanan, Corbin Ong pada lewat separuh masa pertama sudah cukup untuk meletakkan Malaysia mengungguli kumpulan E ketika ini.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan kesilapan benteng pertahanan yang menyaksikan gawang Malaysia dibolosi pada perlawanan tersebut, Pan-gon enggan mengulas insiden tersebut.

Sebaliknya, dia menyifatkan insiden itu sebagai satu perkara yang biasa dalam bola sepak sambal memuji pasukannya yang bangkit dengan segera selepas melakukan kesilapan tersebut.

“Sudah tentu, ada satu ketika pemain akan melakukan kesilapan dan ia perkara biasa dalam permainan bola sepak.

“Saya tidak mahu komen mengenai kesilapan individu sebaliknya saya lebih fokus kepada permainan berpasukan.

“Bagaimanapun pemain berjaya bangkit daripada kesilapan itu dan saya bangga pemain mempunyai mentaliti tersebut,”ujarnya.