Guna peluang cuti sekolah perbaharui pasport di luar Lembah Klang

Orang ramai disarankan agar menggunakan peluang cuti persekolahan memperbaharui pasport di luar Lembah Klang. - Gambar hiasan
Orang ramai disarankan agar menggunakan peluang cuti persekolahan memperbaharui pasport di luar Lembah Klang. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai disarankan agar menggunakan peluang cuti persekolahan memperbaharui pasport di luar Lembah Klang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ini kerana kebanyakan permohonan pembaharuan pasport di kaunter jabatan itu di luar Lembah Klang adalah rendah.

"Daripada kena beratur sehingga empat, lima jam, ambil peluang bercuti di kampung untuk perbaharui pasport masing-masing.

"Sambil bercuti tu contohnya di Perlis atau Kedah, boleh la buat pasport itu kejap," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Terlajak Raya Kelab Media Putrajaya di sini, pada Rabu.

Menurutnya, antara kaunter imigresen yang tidak sibuk adalah di Perlis, Kedah, Pahang dan Terengganu yang mana beroperasi sehingga jam 6 petang.

"Walaupun sebelum ini pasport berkenaan dibuat di Putrajaya, tetapi ia boleh diperbaharui juga di tempat lain," katanya.

Beliau berkata, sejak 25 Jun lalu, kaunter Imigresen di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari bagi memudahkan urusan orang ramai.

"Jadi tidak perlu datang bersesak awal pagi kerana ada pilihan untuk datang pada waktu lain," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kebanyakan orang ramai yang hadir berurusan di kaunter adalah tidak terdesak untuk menggunakan dokumen tersebut dalam masa terdekat.

“Sebelum ini kita memang ada buka kaunter khas untuk jemaah haji, urusan mereka yang hendak pergi haji sudah selesai.

"Kini kebanyakan mereka yang datang memperbaharui pasport ni tidak tahu pun lagi hendak bercuti atau tidak," katanya.

Ujarnya, 1.2 juta bekalan passport berada di dalam stor imigresen dan ia mencukupi untuk menampung keperluan.

"Enam daripada 10 individu yang saya temui tidak tahu untuk bercuti ke mana pun, jadi kita minta jika tiada tujuan, tak perlulah buat.

"Jangan risau, pasport cukup," katanya.