'Fokus kepada tugas di MOF, tidak fikir isu politik'

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama ahli Kelab Media Putrajaya yang diketuai presidennya Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin (empat, kiri) dan tetamu majlis Rumah Terbuka Kelab Media Putrajaya Terlajak Raya, pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama ahli Kelab Media Putrajaya yang diketuai presidennya Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin (empat, kiri) dan tetamu majlis Rumah Terbuka Kelab Media Putrajaya Terlajak Raya, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau tidak memikirkan isu politik termasuk khabar angin akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor kerana tumpuannya sekarang adalah terhadap usaha pemulihan ekonomi negara.

"Sekarang ini masih lagi pada tugas di MOF (Kementerian Kewangan), tidak ada memikirkan isu politik. Isu yang sedang dihadapi (sekarang) dalam pemulihan negara dan fokus kepada tugas kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis hari raya di sini hari ini mengenai khabar angin bahawa beliau menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Selangor sebagai lokasi penampilan sulungnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket UMNO.

Dilaporkan pemilihan Kuala Selangor sebagai "daerah angkat" MOF dan kekerapan turun ke kawasan itu menjadi petanda bahawa Tengku Zafrul akan bertanding di kawasan itu pada PRU15.

Namun ketika ditanya lebih lanjut hasrat beliau untuk bertanding, Tengku Zafrul berkata: "Bukan pada masa ini.”

Kerusi Parlimen Kuala Selangor kini disandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada Amanah, yang sebelum ini dilaporkan berkata beliau tidak akan bertanding pada PRU15 kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda Amanah. - Bernama