'Bukan sebab kerajaan nak kutip duit, permit termaktub dalam akta'

Saarani ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Saarani ketika ditemui pemberita pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menegaskan bayaran permit antara RM10 hingga RM200 yang dicadang dilaksanakan untuk memasuki kawasan Bukit Kledang di sini bukanlah disebabkan faktor wang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bayaran yang diputuskan itu adalah selaras dengan Akta Perhutanan Negara 1984 yang menetapkan keperluan permit bagi satu-satu kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal Tertutup.

Menurutnya, kawasan rekreasi Bukit Kledang itu telah dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan permit berkenaan menerusi satu persidangan khas yang melibatkan pengarah-pengarah Jabatan Perhutanan seluruh negara.

"Ini bukan masalah kerana kerajaan hendak kutip duit ke apa, bukan tetapi kerana sudah ada dalam akta menyebutkan bahawa Hutan Simpan Kekal Tertutup perlu permit untuk memasukinya.

"Oleh kerana kawasan Bukit Kledang ini berada dalam kawasan itu, maka orang yang hendak masuk kena ada permit," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Saarani berkata, keputusan kerajaan negeri pada masa ini adalah kekal untuk menangguhkan sementara pelaksanaan permit berkenaan sehingga satu kajian semula dilakukan.

Katanya, Jabatan Perhutanan telah diminta untuk memperhalusi semula cadangan itu dengan mengambil kira kepentingan orang ramai yang selama ini keluar masuk secara bebas ke kawasan terbabit bagi melakukan aktiviti riadah dan pendakian.

"Kita hendak kuatkuasakan, kena tengok semula keperluan dan ambil kira semua faktor termasuk undang-undang. Kita memahami kehendak rakyat.

"Kita hendak lihat sejauh mana permit itu diperlukan. Mungkin hanya perlu dikenakan permit di bahagian bawah sahaja dan permit hanya diperlukan jika mahu ke atas Bukit Kledang," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaksanaan permit ke kawasan itu adalah satu keperluan bagi mengawal pencerobohan dan binaan yang menyalahi undang-undang.

Jelasnya, berdasarkan laporan Jabatan Perhutanan negeri, sudah ada beberapa struktur seperti kuil, tempat persinggahan dan tempat berkelah dibina di bahagian atas bukit berkenaan.

"Jika kita tidak mengawalnya, kita bimbang nanti orang akan mula membuat banyak binaan lain pula di Bukit Kledang itu. Oleh sebab itu, kita mula mengenakan permit,” katanya.

Jabatan Perhutanan Perak sebelum ini dilaporkan akan menguatkuasakan bayaran tahunan bagi permit memasuki Bukit Kledang, Ipoh berkuat kuasa 1 Julai depan selaras dengan Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Bayaran yang dikenakan bermula pada harga RM10 hingga RM200 bagi warganegara, manakala bagi warga asing bermula RM400 hingga RM800 dengan yuran proses permit sebanyak RM20.

Bagaimanapun, ia menimbulkan pelbagai reaksi umum termasuk daripada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam akaun Twitter yang meminta agar keputusan itu ditukar.