LIMA'19 antara terbaik pernah dianjurkan: Dr Mahathir

Pesawat Su30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia ketika melakukan pertunjukan udara pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. -Foto Bernama
Pesawat Su30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia ketika melakukan pertunjukan udara pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) adalah antara yang terbaik pernah dianjurkan.

"Kita lihat dan perhatikan, sejak penganjuran LIMA, industri kita telah meningkat dengan lebih baik, malah kita telah kuasai teknologi canggih dan mampu mengeluarkan barangan pertahanan untuk dieksport ke negara lain.

"Inilah rekod LIMA. Saya yakin kejayaan LIMA ini akan berterusan dan kita akan dapat banyak manfaat daripada pameran ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata dengan adanya LIMA ini, negara akan melihat lebih banyak pelaburan dan kerjasama pihak luar dengan pengusaha tempatan dapat ditingkatkan lagi khasnya dalam peralatan pertahanan.

Dr Mahathir turut berkongsi hasil lawatannya ke gerai-gerai pempamer khasnya pada hari ini di mana beliau sendiri melihat kecanggihan Pusat Kawalan Udara yang boleh dilakukan seseorang yang tidak berpelajaran tinggi namun berminat untuk mengaturkan pendaratan dan penerbangan sesebuah pesawat.

"Ini satu kemudahan yang semakin baik berbanding dahulu yang berpandukan radio. Kini ia boleh melakukannya dan boleh melihat sendiri pergerakan kapal terbang itu. Saya kagum dengan syarikat negara yang terlibat,” katanya. Dr Mahathir juga berharap rakyat Malaysia di luar negara yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang pertahanan agar kembali ke tanah air walaupun perkara itu tidak dibincangkan.

"Tiada perbincangan, tetapi saya harap sesiapa yang ada kecekapan, kembalilah ke negara (tanah air) untuk naikkan bidang aero aviation (aeroangkasa),” katanya,

Sementara itu, ditanya sama ada usaha membangunkan industri persenjataan akan merangsang pembangunan ekonomi negara, Dr Mahathir berkata:

Artikel Berkaitan:

"Dalam bidang kejuruteraan yang lain, ya. Kerana industri persenjataan memerlukan pengetahuan tentang teknologi dan sistem kawalan moden dan sebagainya... jadi kita perlu belajar jika kita mahu menjadi negara maju, kita perlu kuasai ilmu ini,” katanya.

LIMA'19 yang bermula di sini pada Selasa, akan berakhir pada 30 Mac. Ia berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resort World Langkawi (RWL).

Sebanyak 406 syarikat (206 tempatan dan 200 asing), kebanyakannya berkaitan industri pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA’19. -Bernama