Azmin terima kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi

Azmin (kiri) mengiringi Putera Faisal ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi itu di Bangunan Perdana Putra pada Rabu. - Foto Bernama
Azmin (kiri) mengiringi Putera Faisal ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi itu di Bangunan Perdana Putra pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Rabu menerima kunjungan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan di sini dengan perbincangan terarah terhadap usaha pengukuhan kerjasama dua hala dalam perdagangan serta menggalakkan pelaburan.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit di Perdana Putra itu sempena lawatan rasmi dua hari Putera Faisal ke Malaysia yang bermula Selasa.

Putera Faisal sebelum itu melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri.

Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan sumber import terbesar dalam negara Asia Barat, dengan jumlah dagangan Malaysia-Arab Saudi pada 2021 bernilai RM17.56 bilion (AS$4.23 bilion).

Malaysia dan Arab Saudi telah lama menjadi rakan kongsi dan kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk dalam tindak balas Covid-19 dan pemulihan pasca pandemik.

Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini juga bersetuju meneruskan inisiatif 'Makkah Route' atau prapelepasan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji tahun ini yang telah dimulakan sejak 2017.

Pelaksanaan inisiatif itu memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu. - Bernama