Kelab berbasikal minta segera bina parkir di jalan 'New Zealand'

Kelihatan seorang penunggang basikal di Jalan Temiang-Pantai. Gambar kecil; Amran (kiri) dan Jamari
Kelihatan seorang penunggang basikal di Jalan Temiang-Pantai. Gambar kecil; Amran (kiri) dan Jamari
A
A
A

SEREMBAN - Kelab berbasikal berharap pihak kerajaan dapat menyegerakan usaha menyediakan tempat meletak kenderaan di Jalan Temiang-Pantai di sini susulan peningkatan kehadiran orang ramai di situ terutama hujung minggu.

Presiden Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan, Amran Yahya berkata, kehadiran pengunjung di situ tidak dapat dielakkan kerana keadaan laluan itu sememangnya menarik perhatian ramai.

"Bukan saja kelab kereta dan motosikal, tapi kelab basikal dari pelbagai negeri pun banyak yang pilih jalan itu untuk buat aktiviti.

"Kelab kami juga berhasrat mengadakan aktiviti berbasikal di situ, tetapi dibatalkan selepas insiden kemalangan maut membabitkan seorang penunggang basikal baru-baru ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, dengan adanya tempat meletak kenderaan di situ keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin dan mereka boleh berhenti untuk mengambil gambar.

Katanya, pemasangan papan tanda keselamatan dan laluan berbasikal boleh diwujudkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Masa awal-awal dibuka dulu orang tidaklah ramai sangat, tapi sejak diviralkan ramai ambil peluang datang untuk bergambar.

"Bukan saja orang persendirian, tapi kelab basikal, kelab kereta dan motosikal juga datang ke sini," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Presiden Perpatih Cycling Komuniti, Jamari Abdul Rahman berkata, bukan sahaja kelab berbasikal dari Negeri Sembilan, tetapi juga dari negeri lain tidak mahu melepaskan peluang melalui jalan itu yang disifatkan sesuai untuk aktiviti berbasikal.

Menurutnya, sebelum ini Jalan Bukit Putus menjadi pilihan penunggang basikal untuk beraktiviti, tetapi kini Jalan Temiang-Pantai.

"Jalan itu memang cantik dan untuk aktiviti berbasikal sangat mengujakan. Baru-baru ini, kelab basikal dari Melaka dan Johor minta bantuan saya bawa mereka ke situ.

"Bayangkan orang dari jauh pun sanggup datang sini kayuh basikal. Jadi saya rasa kerajaan perlu percepatkan cadangan bina tempat letak kereta di situ" katanya.

Jamari berkata, laluan itu sesuai untuk dijadikan antara destinasi pelancongan di negeri ini, namun perlu disediakan kemudahan bersesuaian di situ.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan Negeri Sembilan akan memohon kepada kerajaan Persekutuan bagi membina tempat meletakkan kenderaan di Jalan Temiang-Pantai yang menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar.

Tempat letak kereta tersebut bagi menjamin keselamatan pengunjung selepas ramai yang mengambil tindakan memberhentikan kenderaan termasuk di lorong kecemasan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, permohonan akan dibuat kerajaan negeri kerana jalan tersebut merupakan Jalan Persekutuan.