Industri komoditi perlu peka peraturan CBP

Zuraida
Zuraida
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pemain industri komoditi perlu peka dengan peraturan buruh Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) bagi mengelakkan sekatan kemasukan produk ke Amerika Syarikat (AS).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri terutamanya sektor perladangan dan sarung tangan getah juga perlu mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) sekali lagi dengan tuduhan buruh paksa.

Menurutnya, CBP AS telah menjelaskan kepada media Malaysia pada Khamis lalu, bagaimana mereka memperoleh bukti dakwaan buruh paksa serta prosedur siasatan yang telah dilakukan.

"Hasil siasatan CBP itu telah menyebabkan produk daripada enam firma Malaysia masih dilarang daripada memasuki pasaran negara AS akibat WRO.

"Walaupun Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dengan tindakan CBP, namun agensi penguatkuasaan berkenaan mempunyai hak prerogatif untuk mengambil tindakan berdasarkan apa yang pada ketika itu dianggap sebagai maklumat yang mereka peroleh," katanya.

Beliau berkata, kementerian tidak berniat untuk mempertikai hak prerogatif tersebut, namun dakwaan itu adalah tidak adil dan berat sebelah.

"Sekatan kemasukan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia serta sarung tangan getah hanya berdasarkan tuduhan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan lain.

"Namun begitu, CBP dalam memperincikan laluan yang diambil dan tindakan seterusnya terhadap beberapa syarikat telah menyatakan bahawa siasatannya dilakukan berdasarkan maklumat, analisis dan andaian yang munasabah," katanya.

Zuraida berkata, KPPK menghargai usaha Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) untuk bekerjasama dengan CBP dalam isu tadbir urus isu buruh asing dan tempatan.

"Difahamkan, MARGMA telah menerajui usaha sedemikian sejak 2018 apabila ia mendukung dasar hutang sifar dan turut memulakan tindakan pemulihan yang perlu diambil oleh setiap ahli untuk memisahkan mereka daripada stigma buruh paksa menggunakan 11 petunjuk ILO," katanya.

Katanya, MARGMA telah membentuk Unit Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan satu pasukan petugas untuk mendidik serta menyedarkan ahli-ahli persatuan itu dan pekerja mereka mengenai 11 petunjuk ILO mengenai buruh paksa.

"Usaha giat ini dilakukan melalui kerjasama dengan ILO dan kedutaan, suruhanjaya tinggi AS, United Kingdom dan Kesatuan Eropah di Malaysia," katanya.