Projek hidroelektrik Nenggiri: TNB jamin terus ambil langkah wajar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa semua langkah sewajarnya membabitkan isu pembinaan Loji Kuasa Hidroelektrik di Mukim Ulu Nenggeri, Jajahan Gua Musang, Kelantan telah dan akan terus diambil.

TNB dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan telah menerima satu memorandum daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) yang membangkitkan beberapa kebimbangan berhubung pembinaan Loji Kuasa Hidroelektrik itu dengan kapasiti 300 megawatt (MW).

Menurut TNB, mereka mengambil maklum kebimbangan ynag dibangkitkan oleh JKOAK dan memberikan jaminan itu.

Kenyataan itu menyebut sejak 2015, TNB telah menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan yang berkaitan untuk melaksanakan projek itu dengan mematuhi sepenuhnya kehendak undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli serta Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia.

"TNB juga telah beberapa kali mengadakan libat urus dengan Orang Asli dan komuniti lain yang terjejas secara langsung atau tidak langsung dengan projek ini. TNB kekal fokus terhadap objektif utamanya untuk melaksanakan projeknya dengan jayanya dan terus memastikan kepentingan pihak berkentingan ditangani," katanya.

Menurut TNB, Projek Hidroelektrik Nenggiri adalah bahagian penting dalam strategi kerajaan untuk meningkatkan penjanaan kuasa daripada sumber tenaga boleh diperbaharui selain menjadi tambahan untuk menyokong usaha tebatan banjir di Kelantan.

Projek itu juga akan memberikan impak sosioekonomi yang positif kepada negara dan Kelantan selain membawa faedah lain untuk komuniti setempat di kawasan berhampiran termasuk akses lebih baik kepada kemudahan, peluang pekerjaan dan keusahawanan serta menambah baik sumber pengairan bagi aktiviti pertanian.

"TNB memiliki rekod prestasi yang baik dalam memenuhi segala kewajipannya kepada negara dan komuniti setempat. Kami sedang mengusahakan satu pelan komprehensif bagi memastikan semua kewajipan kami dipenuhi dan dilaksanakan seperti yang dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga akan memastikan bahawa pelaksanaan projek ini menepati agenda kerajaan untuk meningkatan penjanaan kuasa daripada sumber tenaga boleh diperbaharui," katanya. - Bernama