Wai Ching kembali ke landasan kemenangan

Wai Ching mengungguli pertandingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, pada Ahad. - Foto Facebook Soh Wai Ching
Wai Ching mengungguli pertandingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, pada Ahad. - Foto Facebook Soh Wai Ching
A
A
A

PELARI menara negara, Soh Wai Ching kembali mengesahkan statusnya sebagai jaguh nombor satu dunia, apabila mengungguli pertandingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad selepas rekod 19 kali kemenangan berturut-turut lebur bulan lalu.

Tampil dalam kelas tersendiri, atlet berusia 27 tahun itu menguasai pertandingan mendaki 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center (OWTC) dengan masa 12 minit 46 saat, meninggalkan pencabarnya lebih tiga minit di belakang.

Sementara itu, pelari AS, Shari Klarfeld menduduki tempat kedua dengan masa 15:53 sekali gus menjuarai kategori wanita keseluruhan manakala seorang lagi pelari wanita dari Mexico, Maria Elisa Lopez Pimentel ketiga dengan masa 16:02.

Roberto Velazquez Leyva dari Mexico pula meraih tempat kedua kategori lelaki dengan masa 16:52 manakala pelari tempatan New York, Stephen Marsalese di tempat ketiga (17:07).

Mengenai kemenangannya Wai Ching kelahiran Selayang itu berkata, persiapannya tidak begitu bagus menjelang pertandingan itu tetapi melakukan apa yang sepatutnya berbekalkan prestasi semasa dan memenanginya.

"Kini saya lebih faham dengan struktur anak tangga di sini dan tidak sabar untuk kembali tahun depan serta memperbaiki catatan masa," katanya.

Untuk rekod, rentak 19 kemenangan Wai Ching dalam larian sejak Disember 2019

sebelum ini lebur buat pertama kali apabila tewas di Warsaw, Poland hujung bulan lalu.

Pertandingan dianjurkan Yayasan Tunnels to Towers Climb sejak 2015 dan dana dikumpul menerusi perlumbaan itu disalurkan kepada pertubuhan yang membantu mangsa serangan pengganas pada 11 September 2001 yang menyaksikan menara berkembar itu musnah.

"One World Trade Center satu bangunan ikonik yang menghargai pengorbanan semua wira insiden 9/11," kata Wai Ching.

Untuk rekod ini kemenangan keenam Wai Ching tahun ini selepas Larian M1 di Dubai (5 Februari), Big Climb Dallas (26 Mac), Big Climb Seattle (27 Mac), Big Climb Houston (2 April) dan Fight for Air Climb San Francisco (9 April).

Wai Ching akan menyahut cabaran dalam pertandingan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York pada 11 Jun ini.