BN sudah masuk ‘gear’ ke arah PRU15

Kelihatan Ismail Sabri (dua dari kanan) memakai 'vest' Penerangan PRU15 dalam video tular berdurasi 15 saat itu.
Kelihatan Ismail Sabri (dua dari kanan) memakai 'vest' Penerangan PRU15 dalam video tular berdurasi 15 saat itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dilihat sudah memasukkan ‘gear’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memulakan Permukiman Penerangan Ke Arah PRU-15 yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang pada Sabtu.

Permukiman itu yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merangkap Naib Presiden UMNO.

Berdasarkan satu video tular berdurasi 15 saat pada Selasa, kelihatan Ismail Sabri bersama beberapa anggota parti itu memakai ‘vest’ Penerangan PRU15, dipercayai diambil semasa sesi permukiman itu berlangsung.

Selain itu, video itu turut disertai dengan kapsyen ‘dah siap training kat Janda Baik untuk PRU15’.

Pada sesi permukiman itu juga, satu Sesi Khas Bersama Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan turut diadakan.

Berdasarkan perkongsian Mohamad dalam Facebooknya, sesi itu membabitkan persiapan dan strategi menghadapi PRU15.

“Berbincang dan bercambah fikiran bersama-sama mengenai persiapan dan strategi menghadapi PRU15 dengan semua ketua-ketua dan setiausaha-setiausaha penerangan wanita, pemuda, puteri dan ketua-ketua penerangan negeri serta bahagian-bahagian dari seluruh negara.

“Jentera Penerangan amat penting kepada parti,” katanya.

Sesi-sesi penerangan semasa permukiman itu turut melibatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.