Nekmat harap pendaratan ikan pulih akhir Jun

Pendaratan ikan khususnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang berkurangan hingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan ini diharap akan meningkat semula pada akhir Jun. - Foto 123rf (Gambar kecil: Abdul Hamid)
Pendaratan ikan khususnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang berkurangan hingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan ini diharap akan meningkat semula pada akhir Jun. - Foto 123rf (Gambar kecil: Abdul Hamid)
A
A
A

ALOR SETAR – Pendaratan ikan khususnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang berkurangan hingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan ini diharap akan meningkat semula pada akhir Jun.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, pendaratan ikan sebelum ini menurun daripada lebih 1 juta tan sebulan kepada kira-kira 300,000 tan sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak mereka optimis pendaratan ikan akan meningkat semula hingga mencapai 600,000 tan berbanding 300,000 tan sebelum ini.

“Masalah kekurangan bekalan ikan berlaku disebabkan beberapa faktor termasuklah keadaan cuaca tidak menentu, kekurangan tenaga pekerja asing dan kos diesel bot nelayan kelas C2.

“Namun, kami yakin isu pendaratan ikan berkurangan yang berlaku hingga menyebabkan kenaikan harga ikan di pasaran akan pulih semula pada akhir bulan ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagi membolehkan masalah ini diatasi segera, beliau memohon supaya kerajaan menimbang semula pemberian minyak kepada bot nelayan kelas C2 yang merupakan penyumbang terbesar tangkapan ikan negara.

Tambah Abdul Hamid, bot kelas C2 memerlukan tidak kurang daripada RM45,000 untuk minyak diesel bagi 10,000 liter jika dibandingkan dengan pengusaha bot yang mendapat subsidi minyak.

Mengulas lanjut, katanya, harga seliter minyak diesel untuk bot kelas C2 mencecah RM4.70 seliter berbanding RM1.65 liter bagi bot kelas A,B dan C.

Disebabkan itu, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah yakin bekalan ikan dalam negara akan pulih segera sekiranya kerajaan memberi kembali subsidi kepada nelayan bot kelas C2.

Tambah beliau, Nekmat buat masa ini masih memiliki kira-kira 30 tan stok ikan sejuk beku apabila keadaan memerlukan sebelum pendaratan ikan pulih seperti sedia kala.

Pada 22 Mei lepas, Nekmat memaklumkan pendaratan ikan terutamanya di utara Semenanjung Malaysia berkurangan hingga 70 peratus iaitu lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada 4 Jun lepas dilaporkan menjangkakan bekalan ikan berkurangan kembali pulih pada bulan ini.