Curi kereta diparkir, jual alat ganti

Muhammad Idzam (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki pada Ahad.
Muhammad Idzam (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas seorang lelaki yang disyaki aktif dalam kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di Flat Sri Sabah, pada jam 3 petang.

"Kita turut merampas lapan buah kenderaan antaranya sebuah kereta Proton Wira, empat Proton Iswara, dua Proton Saga dan sebuah van,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini pada Selasa.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati modus operandi suspek ialah menyasarkan kereta lama diparkir di tepi jalan bagi kegunaan sendiri sebelum mengambil alatan ganti kenderaan untuk dijual.

"Suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan curi kenderaan dan enam rekod dadah selain aktif mencuri kereta di daerah Wangsa Maju, Brickfields Kuala Lumpur dan Teluk Intan Perak," katanya.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Idzam memaklumkan bermula 1 Januari hingga 31 Mei lalu trend jenayah di Cheras cenderung kepada kegiatan curi kenderaan.

“Sehingga kini kit menerima sebanyak 157 laporan kecurian kenderaan melibatkan 76 kereta, 71 motosikal dan 10 van serta lori.

“Kita sudah mendakwa seramai 20 individu dan siasatan selanjutnya sedang dijalankan bagi membanteras kegiatan terbabit,” katanya.