Mayat dalam Alphard: Lebih 10 individu dirakam keterangan

Dua remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium. - Foto Ihsan polis. (Gambar kecil: Muhammad Idzam)
Dua remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium. - Foto Ihsan polis. (Gambar kecil: Muhammad Idzam)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes dua mayat yang ditemukan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Cheras pada 29 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, antara individu yang dipanggil adalah dalam kalangan keluarga dan rakan.

"Hasil siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang unsur jenayah, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Selasa.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian dua individu terbabit.

"Bedah siasat telah dilaksanakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan pakar perubatan telah menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk analisis selanjutnya," katanya.

Pada 1 Jun lalu media melaporkan dua mayat ditemui di dalam sebuah MPV yang diparkir di kawasan bawah tanah di sebuah bangunan kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mayat dalam Toyota Alphard kira-kira jam 8.26 malam.

Siasatan di lokasi polis menemui mayat seorang wanita tempatan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki tempatan di tempat duduk belakang.

Polis kemudian mengesahkan identiti mangsa sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul masing-masing berusia 19 tahun.