300 atlet Kelantan sahut cabaran di Sukma KL 2022

Wan Roslan
Wan Roslan
A
A
A
KELANTAN akan menghantar 300 atlet pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur pada September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, antara acara sukan yang disertai termasuk olahraga, ragbi dan muay Thai.

"Kita baharu sahaja selesai mengadakan khusus jurulatih pada minggu lepas di Janda Baik, Pahang selama tiga hari sebagai persiapan menghadapi cabaran Sukma kali ini.

"Selepas ini, kita akan kumpulkan kesemua atlet untuk menyertai kem bina semangat dekat Bukit Kluang di Terengganu pada 16 hingga 18 Jun ini bagi memberi motivasi kepada mereka," katanya pada Isnin.

Temasya Sukma ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, bakal dianjurkan bermula 29 September hingga 8 Oktober tahun ini di sekitar Lembah Klang.

Edisi kali ini akan mempertandingkan 31 jenis sukan, iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan, selain dua sukan demonstrasi - silambam dan kabaddi.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, beliau yakin Kelantan mampu meraih sasaran 10 hingga 12 kutipan pingat emas dalam temasya kali ini.

"Temasya Sukma sebelum ini kita meraih enam pingat emas, namun kali ini kita yakin mampu memperoleh lebih pingat emas menerusi beberapa acara seperti muay Thai, angkat berat dan sepak takraw," katanya. - Bernama