Legenda badminton negara, Foo Kok Keong dianugerah gelaran Datuk

Foo Kok Keong - Foto Bernama
Foo Kok Keong - Foto Bernama
A
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Fook Kok Keong hari ini menzahirkan rasa syukur apabila dianugerahkan Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membawa gelaran 'Datuk'.

Jaguh badminton era 90-an itu berkata, sebagai ahli sukan beliau amat gembira dan berbesar hati atas pengurniaan anugerah tersebut sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya berasa amat gembira kerana selepas sekian lama sebagai ahli sukan, saya dianugerahkan gelaran ini,” katanya kepada wartawan selepas istiadat penganugerahan di Istana Negara hari ini.

Kok Keong, 59, turut menasihatkan para pemain yang bercita-cita tinggi supaya bekerja keras kerana pemain dari negara lain semakin menandingi mereka selain standard sukan tersebut juga kian meningkat.

Beliau kini aktif melatih bakat muda daripada golongan B40 menerusi penglibatan dalam pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Rotary Rahman Putra.

"Setakat ini ada enam pemain, dua sudah dilatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bakat yang saya cari serta latih dalam lingkungan umur 15 hingga 16 tahun," katanya.

Antara pencapaian beliau sepanjang penglibatan dalam badminton termasuk pingat emas Sukan SEA Manila pada 1991, Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1993 dan pingat gangsa Piala Dunia di Guangzhou pada tahun sama. - Bernama