Pemandu Myvi mabuk direman esok

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JASIN - Polis Melaka akan membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Jasin pada Selasa terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan pasangan orang kurang upaya (OKU) terkorban di Jalan Serkam Pantai, di sini, pada pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, permohonan reman ke atas pemandu Perodua Myvi berusia 24 tahun bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan tiga buah motosikal.

"Individu lelaki telah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah berkenaan untuk mendapatkan permohonan reman.

"Polis sedang menunggu laporan alkohol daripada pihak hospital untuk tindakan lanjut ke atas lelaki bekerja sebagai operator kilang itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian pada Isnin menyiarkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya yang bekerja sebagai operator kilang, Surayah Muhamat, 48, dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke arah Merlimau.

Setibanya di lokasi kejadian sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Lelaki itu gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Ego Solaris ditunggang pasangan suami isteri itu serta dua lagi motosikal lain sebelum merempuh sebuah rumah.

Artikel Berkaitan: