Benteng RM1.2 juta atasi banjir kilat di Kajang

Loy Sian (kiri) membuat tinjauan dan lawatan ke kawasan pembinaan
Loy Sian (kiri) membuat tinjauan dan lawatan ke kawasan pembinaan
A
A
A

KAJANG - Pembinaan benteng dan ban konkrit di tebing Sungai Langat dijangka dapat menyelesaikan risiko banjir kilat melanda kawasan taman perumahan di sekitar Jalan Reko di sini.

Projek pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta itu dilaksanakan di empat kawasan membabitkan Taman Sri Langat, Taman Mahkota, Taman Pasir Mas dan Taman Bangi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian berkata, pembinaan di tiga kawasan sudah selesai dan yang terakhir di Taman Bangi di sini dijangka siap pada pertengahan bulan ini.

"Empat kawasan kita buat benteng iaitu di Taman Sri Langat, Taman Mahkota, Taman Pasir Mas dan Taman Bangi bagi menyelesaikan masalah banjir kilat di Jalan Reko kerana air melimpah dari Sungai Langat.

"Projek keempat di Taman Bangi ini menelan belanja sebanyak RM350,000 dari peruntukan kerajaan negeri, dijangka siap pada 15 Jun ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Loy Sian membuat tinjauan ke kawasan pembinaan bersama jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hulu Langat serta Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Tambahnya, masalah banjir kilat di kawasan taman terbabit di sepanjang Jalan Reko dijangka dapat diselesaikan dengan perlaksanaan projek ini yang dijangka siap pada bulan ini.