Mudahnya tuding jari kepada media dan netizen

Kecil atau besar, jadi viral atau tidak sesuatu berita, biasanya bergantung kepada nilai berita itu dan setragis mana insiden jenayah berlaku. - Gambar hiasan 123RF
Kecil atau besar, jadi viral atau tidak sesuatu berita, biasanya bergantung kepada nilai berita itu dan setragis mana insiden jenayah berlaku. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan kecewa membaca berita seorang pemimpin politik yang menyalahkan media serta netizen mengenai peningkatan kes sosial dan jenayah.

Katanya, kes sosial dan jenayah di negeri tersebut nampak banyak sebab media beria-ia tulis serta siarkan berita tersebut.

Kata pemimpin politik tersebut lagi, tambah memburukkan nama negeri itu apabila netizen macam ‘nasi tambah’ komen dan mensensasikan kejadian tersebut di media sosial.

Merak Jalanan bukanlah nak mempertahankan kawan-kawan media mahupun netizen.

Tapi bagi Merak Jalanan, jawapan menuding jari mencari kesalahan orang lain tanpa memberi jalan penyelesaian atau tambah baik, sangatlah tidak bertanggungjawab.

Media melaporkan apa yang berlaku. Jika buruk, media akan tulis kejadian buruk yang terjadi. Dan jika baik media juga melaporkan program baik yang dilaksanakan.

Media melaporkan isu sosial dan jenayah yang berlaku di seluruh negeri, dari Perlis hinggalah ke Sabah. Tiada prejudis kalau berita dari negeri tertentu tidak boleh siar.

Kecil atau besar, jadi viral atau tidak sesuatu berita, biasanya bergantung kepada nilai berita itu dan setragis mana insiden jenayah berlaku.

Sebagai contoh, pada Ahad media memberi tumpuan kepada kejadian wanita hamil tujuh bulan ditembak di perut di Pasir Mas, Kelantan dan ibu dikerat 15 dipercayai oleh anak sendiri di Parit Buntar, Perak.

Lantas, sebagai pemimpin apabila diajukan soalan dan permasalahan jadilah pemimpin berjiwa besar dengan jawapan yang lebih memberi jalan solusi.

Merak Jalanan tak hairan, kalau bukan sahaja isu sosial dan jenayah, bahkan masalah rakyat tak berkurang di sesuatu kawasan. Sebabnya ada pemimpin lebih suka sesuatu isu dan masalah didiamkan, bimbang calar nama kampung, kawasan dan negerinya.