Mara sasar pelajar kuasai bahasa Inggeris, lanjut bidang perubatan

Jimmy (kiri) dan Zahrail Affenday (dua dari kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada peserta Get Ready for University Programme di Hospital UCSI pada Ahad.
Jimmy (kiri) dan Zahrail Affenday (dua dari kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada peserta Get Ready for University Programme di Hospital UCSI pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Sembilan menyasarkan lebih ramai pelajar di Negeri Sembilan dapat menguasai bahasa Inggeris selain terlibat dalam bidang perubatan.

Pengarah Mara Negeri Sembilan, Zahrail Affenday Mohamed berkata, kolaborasi strategik bersama universiti tempatan seperti Universiti UCSI, Springhill (Seremban/Port Dickson) dapat membekalkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan ilmu persediaan memasuki universiti.

"Justeru, Get Ready for University Programme (GEAR Up!) dirangka khas oleh Mara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terutamanya dalam kemahiran berkomunikasi.

"Selain itu, ia memberikan pendedahan bidang perubatan kepada mereka di mana universiti tempatan mempunyai fasiliti dan kebolehan untuk melatih pelajar-pelajar ini dalam bidang perubatan," katanya ketika sidang akhbar selepas selesai Get Ready for University Programme (GEAR Up!) di Hospital UCSI di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan peperiksaan yang cemerlang sahaja bukanlah satu jaminan untuk mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian dan bergraduasi nanti.

"Berdasarkan kajian pengesanan graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dianggarkan kira-kira 41,161 (13.8 peratus) daripada 330,557 graduan yang lulus pada 2019 masih menganggur, manakala sekitar 75,000 (25 peratus) daripada 300,000 graduan pada tahun 2020 menghadapi rintangan mendapatkan pekerjaan, enam bulan selepas tamat pengajian.

"Maka tanamlah keinginan dan tingkatkan semangat untuk memperbaiki tahap penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, menurut Pro Naib Canselor UCSI Kampus Springhill, Profesor Ir Dr Jimmy Mok Vee Hoong, seramai 93 pelajar sekolah menengah sekitar Seremban dan Port Dickson menyertai program berkenaan sejak Jumaat lepas.

"Menerusi kolaborasi pertama dengan Mara ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar suasana belajar dalam kampus terutamanya dalam bidang perubatan berikutan di sini mempunyai kemudahan seperti hospital dan fakulti perubatan.

"Selain itu, Kampus Universiti UCSI Springhill juga dipilih untuk 'Young Talent Development Programme' oleh Mara. Menerusi tajaan Mara, pelajar SPM boleh mendaftar ke program Asasi UCSI yang menjurus kepada Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Optometri.

"Terdapat banyak lagi program yang disediakan di kampus dan kami alu-alukan lebih ramai pelajar dari Negeri Sembilan," katanya.