ADUN Kukusan umum keluar Warisan

Rina menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah dalam majlis sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Rina menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah dalam majlis sidang akhbar di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warisan) pada Ahad.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini dan turut memaklumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Katanya, terdapat tiga pengumuman penting yang mahu dikongsikan kepada semua pihak dalam sidang akhbar itu.

"Saya mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Warisan termasuk Naib Ketua Wirawati Sabah dan Ketua Wirawati Bahagian Kalabakan berkuat kuasa serta-merta dan mengumumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah," katanya.

Ditanya mengapa memilih parti kecil dan juga bukan berada dalam kerajaan, beliau memaklumkan dia tidak pernah merancang dan tidak menyangka akan menyertai Harapan Rakyat.

"Saya rasa ini perancangan tuhan perjuangan yang berasal daripada Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang mengasaskan parti ini dan diambil alih oleh Tan Sri untuk menghidupkan semula dan setelah kami berbincang beliau berpendapat bahawa parti ini kita boleh bawa perjuangkan nasib rakyat Tawau.

"Saya tidak perlu pening fikir apa yang berlaku sekarang, perebutan kuasa segala. Saya hanya mahu fikir fokus bekerja untuk rakyat," katanya.

Ditanya lanjut adakah perjuangan Warisan sudah tidak selari dengannya, beliau memaklumkan perjuangannya tetap sama demi rakyat namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sebelum itu, Rina adalah ADUN Warisan yang keenam yang meninggalkan Warisan dan sekali gus menjadikan Warisan kini hanya mempunyai 18 kerusi DUN.

Lima wakil rakyat Warisan yang keluar parti sebelum ini ialah ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob; Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi; ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Nuil Juatim.