Pusat hiburan degil diserbu lagi

Polis menggempur sebuah premis hiburan yang masih beroperasi tanpa lesen walaupun pernah diserbu sebelum ini. - Foto PDRM
Polis menggempur sebuah premis hiburan yang masih beroperasi tanpa lesen walaupun pernah diserbu sebelum ini. - Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah pusat hiburan di Damansara Utama di sini digempur polis pada Sabtu selepas didapati masih beroperasi tanpa lesen walaupun pernah diserbu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bertindak atas maklumat, premis tersebut diserbu anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 1.30 pagi.

"Premis hiburan tersebut pernah diserbu beberapa kali oleh pasukan polis IPD Petaling Jaya sepanjang tahun 2021 menerusi operasi Op Noda Khas.

"Premis tersebut menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen hiburan yang sah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak polis telah mengambil tindakan merampas kesemua peralatan muzik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Polis turut merampas peralatan muzik di dalam premis terbabit. - Foto PDRM.
Polis turut merampas peralatan muzik di dalam premis terbabit. - Foto PDRM.

Beliau berkata, seramai 70 lelaki dan 34 wanita yang diperiksa didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau atau dalam senarai dikehendaki.

Katanya, tindakan diambil berdasarkan kesalahan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor atas kesalahan beroperasi tanpa lesen hiburan, beroperasi lebih waktu hiburan dan menjual minuman keras tanpa lesen.

"Tindakan akan terus dijalankan terhadap pengusaha premis hiburan yang tidak mematuhi peraturan dikeluarkan PBT. Sebarang maklumat berkenaan pelanggaran undang-undang boleh disalurkan kepada IPD Petaling Jaya," ujarnya.