Flick bakal lakukan penambahbaikan pasukan

Flick mahu pastikan Jerman kembali ke landasan kemenangan. - Foto GettyImages
Flick mahu pastikan Jerman kembali ke landasan kemenangan. - Foto GettyImages
A
A
A

SETELAH terikat 1-1 ketika berdepan Itali pada Ahad, pengendali Jerman, Hansi Flick bakal melakukan beberapa penambahbaikan kepada pasukan menjelang aksi kedua peringkat kumpulan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Hungary, 12 Jun ini.

Menurut Flick, setelah dikejutkan Itali pada perlawanan pertama, beliau mahu kesemua pemain berwaspada apabila berdepan Hungary yang telah menewaskan England pada Ahad.

“Kita tidak mahu kejutan kali kedua... aksi sengit dengan Itali kali ini diharap membuatkan pemain sedar mereka akan berdepan dengan aksi yang lebih sengit selepas ini... mereka perlu bersedia.

"Kita akan berdepan Hungary yang telah menewaskan England. Oleh itu, kita perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Pada perlawanan dengan Itali pada Ahad, Jerman dikejutkan dengan jaringan pada minit ke-70 oleh Lorenzo Pellegrini.

Namun Joshua Kimmich muncul wira skuad Die Mannschaft itu apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-73 bagi memastikan kedua-dua pasukan meraih satu mata berharga.

Sementara itu, Flick mengakui terkejut menyaksikan aksi hebat yang dipamerkan kesebelasan Itali pada perlawanan berkenaan.

Menurut Flick, aksi dipamerkan skuad Azzurri itu nyata berbeza dan malah dilihat lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya terkejut menyaksikan permainan mereka (Itali). Mereka bermain sebagai sebuah pasukan dengan aksi-aksi yang mantap.

“Secara keseluruhannya, aksi berkenaan nyata di luar jangkaan saya dan ia dilihat sebagai antara faktor yang mungkin menyebabkan kita mengalami kekalahan.

“Mujur itu (kekalahan) tidak berlaku, namun kita perlu lebih berhati-hati apabila berdepan dengan mereka (Itali) lagi selepas ini,” katanya.