Bekalan ayam mencukupi sempena Aidiladha

Masalah kekurangan bekalan ayam yang sebelum ini dilaporkan di beberapa lokaliti kini beransur pulih. - Foto Bernama
Masalah kekurangan bekalan ayam yang sebelum ini dilaporkan di beberapa lokaliti kini beransur pulih. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Isu bekalan ayam dijangka selesai dalam tempoh sebulan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor yang turut menjangkakan bekalan ayam mencukupi sempena sambutan Aidiladha bulan hadapan.

Beliau berkata, ia susulan intervensi dan sesi libat urus rentas agensi yang turut melibatkan pemain industri bagi mengetahui permasalahan utama berkaitan bekalan ayam.

"Kita dapat komitmen iaitu mereka komited untuk tingkatkan pengeluaran. Kita dalam proses pemulihan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Veterinar Sedunia peringkat kebangsaan 2022 pada Sabtu..

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan bekalan ayam berkurangan dalam negara dalam tempoh dua minggu lepas, antaranya faktor perubahan cuaca, penyakit sampar ayam atau ‘Newcastle Disease’ (ND) serta proses vaksinasi ayam yang tidak mengikut jadual sepatutnya.

"Kekurangan pekerja dan penggunaan sistem reban ayam terbuka juga antara faktor penyumbang kepada kekurangan bekalan ayam,” katanya.

Mengulas lanjut, Norlizan berkata, hampir 80 peratus penternak ayam dalam negara menggunakan sistem reban ayam terbuka, yang antara lain terdedah kepada pencemaran bau dan lalat, dan hanya segelintir menggunakan sistem reban ayam tertutup dengan penggunaan teknologi optimum.

Bagi perolehan sumber import ayam, beliau berkata, DVS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah bergerak ke beberapa negara, bagi tujuan pengauditan rumah sembelih.

"Jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, negara akan mendapat sumber ayam yang lebih banyak pada harga kompetitif bagi keperluan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid turut mengesahkan, isu bekalan ayam kurang di beberapa lokaliti yang dilaporkan sebelum ini beransur pulih.

"Perkara ini (bekalan ayam) adalah sementara. Kerajaan mencuba sedaya upaya bagi memastikan bekalan ayam tiada kekurangan bekalan,” katanya.

Sebelum itu, Haslina ketika berucap pada majlis perasmian sambutan itu berkata, MAFI menerusi DVS, menyusun pelbagai strategi bagi menjaga kebajikan haiwan termasuk dalam membendung penyakit yang menyerang ternakan dan memastikan bekalan makanan daripada hasilan haiwan sentiasa mencukupi.

Kerajaan juga, katanya bersetuju mewujudkan Lembaga Ruminan Negara yang berperanan memastikan industri ruminan sentiasa berdaya saing dan dapat menampung permintaan bekalan daging, susu dan produk tenusu dalam negara. - Bernama